TEMURAMAH KHAS DATUK BANDAR MBPJ BERSAMA WARTAWAN SELANGOR KINI: PETALING JAYA DIANUGERAH SEBAGAI ‘BANDAR PEMBELAJARAN’ OLEH PERTUBUHAN PENDIDIKAN, SAINS DAN KEBUDAYAAN BANGSA-BANGSA BERSATU (UNESCO)

1. APAKAH ITU UNESCO LEARNING CITY AWARD? DAN BAGAIMANAKAH PETALING JAYA BOLEH DIIKTIRAF SEBAGAI ANTARA 10 BANDAR DI DUNIA MENERIMA ANUGERAH TERSEBUT? ADAKAH SECARA JEMPUTAN ATAUPUN KAJIAN YANG DILAKUKAN SENDIRI OLEH PIHAK UNESCO?
Setiap 2 tahun, UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu) menganugerahkan UNESCO Learning City Award kepada beberapa bandaraya dari seluruh dunia yang menunjukkan kemajuan yang membanggakan dalam membangunkan sebuah bandaraya pembelajaran. Ia adalah satu pengiktirafan ke atas usaha-usaha sesebuah bandaraya itu menjadikan akses kepada pendidikan yang berkualiti dan peluang-peluang pendidikan sepanjang hayat sebagai salah satu agenda utama buat penduduknya. Untuk melayakkan sesebuah bandaraya itu memenangi anugerah ini, ia mestilah menjadi ahli kepada UNESCO Global Network of Learning Cities (GNLC) terlebih dahulu. Hanya ahli-ahli GNLC sahaja yang layak untuk memohon penganugerahan ini. Petaling Jaya telah diiktiraf sebagai penerima anugerah UNESCO Learning City Award ini berdasarkan program-program sedia ada yang dilaksanakan oleh MBPJ yang menjadi sebahagian daripada perancangan bandaraya pembelajaran yang menyeluruh seperti yang telah dikemukakan dalam dokumen permohonan kami ke UNESCO. Dokumen permohonan ini telah disemak dan dinilai oleh panel juri yang terdiri daripada 10 pakar antarabangsa dari setiap rantau UNESCO di seluruh dunia. Petaling Jaya adalah salah satu daripada 10 bandaraya yang berjaya menerima anugerah ini pada tahun 2019. 12 bandaraya telah terpilih untuk menerima anugerah ini pada tahun 2015 dan pada tahun 2017 pula ada 16 bandaraya yang berjaya.
2. BOLEH YBHG DATUK NYATAKAN APAKAH USAHA YANG DILAKUKAN OLEH MAJLIS BANDARAYA PETALING JAYA (MBPJ) SEHINGGA MENJADIKAN PETALING JAYA LAYAK MENERIMA PENIKTIRAFAN ITU SEHINGGA DIKENALI DI SELURUH DUNIA?
MBPJ mempunyai visi yang jelas untuk menjadikan Petaling Jaya sebuah bandaraya peneraju, dinamik dan lestari melalui Pelan Strategik 2016-2026 yang mengandungi empat Teras Strategik, iaitu Tadbir Urus, Masyarakat, Alam Sekitar, dan Ekonomi. Keempat-empat teras ini amat mementingkan pendidikan dan pembelajaran berterusan oleh pegawai-pegawai MBPJ, penduduk-penduduk Petaling Jaya, serta komuniti peniaga dan usahawan dalam merealisasikan visi ini. Sebelum ini aktiviti-aktiviti pembelajaran ini diuruskan oleh unit-unit atau jabatan-jabatan masing-masing, tetapi sekarang kita telah menubuhkan Petaling Jaya Learning City Secretariat supaya satu usaha bersepadu dalam membangunkan program bandaraya pembelajaran ini dapat dilaksanakan dengan berkesan. Kita juga telah mengenalpasti 8 Teras Pembelajaran (8 Core Learning Categories) dan 9 Kumpulan Sasar untuk memastikan setiap lapisan masyarakat di Petaling Jaya ini tidak terkecuali daripada manfaat yang akan dinikmati hasil daripada “Learning City Program’ ini.
3. DIFAHAMKAN MBPJ SUDAH SEDIA ADA MEMILIKI LAPAN TERAS UNTUK MENJADIKAN BANDAR INI SEBAGAI ‘LEARNING CITY’. APAKAH LAPAN TERAS ITU? BOLEH NYATAKAN SECARA TERPERINCI?
Lapan Teras Pembelajaran (8 Core Learning Categories) itu ialah: Seni & Kebudayaan, Pendidikan, Keusahawanan, Kesihatan & Kesejahteraan, Alam Sekitar, Kerohanian, Teknologi dan Keselamatan yang menjadi tunjang kepada program bandaraya pembelajaran buat Petaling Jaya. Di samping itu kita juga telah mengenal pasti sembilan Kumpulan Sasar, iaitu: Para Pegawai MBPJ, Golongan Pekerja, Peniaga, Wanita, Remaja, Kanak-kanak, Warga Tua, Miskin Bandar, dan Golongan Terpinggir atau mereka yang memerlukan bantuan khas.
4. DALAM SATU KENYATAAN YANG DIKELUARKAN OLEH PIHAK UNESCO, TELAH DINYATAKAN BAHAWA PENGIKTIRAFAN PETALING JAYA ITU ADALAH BERDASAKAN FAKTOR MBPJ TELAH MENYEDIAKAN PERKHIDMATAN BAS PERCUMA SEBAGAI USAHA MEMANTAPKAN TARAF CAPAIAN PENDIDIKAN AWAM. KETIKA ITU, MBPJ MEMPUNYAI 4 JAJARAN LALUAN BAS PERCUMA DAN KINI TELAH MEMPUNYAI 6 ADAKAH PADA MASA AKAN DATANG MBPJ TELAH BERSEDIA UNTUK MEMPERLUASKAN LAGI PERKHIDMATAN INI?
Halatuju utama Pelan Strategik Sustainable Petaling Jaya 2030 di bawah 5 tonggak utama iaitu Alam Sekitar, Ekonomi, Budaya & Komuniti, Habitat Berdaya Huni dan Urus Tadbir Baik memberi penekanan ke arah membangun sistem pendidikan di Petaling Jaya selari dengan wawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya adalah untuk menjadi sebuah bandar yang “Smart, Sustainable and Resilient’ menjelang tahun 2030. Antara salah satu strategi bagi mencapai wawasan itu adalah dengan menyediakan sistem pengangkutan bandar yang cekap dan mampan di mana 40% pengguna pengangkutan menggunakan mod pengangkutan awam. Bagi mendorong pengguna pengangkutan persendirian beralih kepada pengangkutan awam, Majlis telah memperuntukkan lebih dari RM10 juta bagi perkhidmatan bas percuma ini yang mengutamakan kawasan yang berkepadatan tinggi serta golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Ini adalah salah satu usaha bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam selain dilihat sebagai salah satu usaha Majlis dalam mengurangkan bebanan sara hidup rakyat kerana pengangkutan merupakan salah satu penyumbang terbesar dalam kos harian. Ini selaras dengan Sustainable Development Goals 11 ‘Sustainable Cities and Community’ yang bermatlamat untuk mewujudkan menyediakan akses yang baik khasnya pengangkutan dan kemudahan awam bagi golongan miskin mendapat peluang pelajaran dan pendidikan serta mendapatkan perkhidmatan, kemudahan dan membuka peluang meningkatkan ekonomi dan pekerjaan bagi penduduk berpendapatan rendah. Selaras dengan SDG 11 ini juga, golongan pelajar kolej dan universiti di Petaling Jaya, PJKita menawarkan mereka menjadi leader dalam leadership program. Majlis Bandaraya Petaling Jaya juga mementingkan aspek pendidikan dan pembelajaran untuk menjadi sebuah bandar pembelajaran. Perkhidmatan PJ City Bus juga bukan sahaja menyediakan perkhidmatan khas bas percuma ke sekolah-sekolah, malah setiap bas yang disediakan turut dilengkapi dengan kemudahan Wifi percuma yang dapat memberikan akses internet kepada pelajar dalam mendapatkan bahan-bahan pelajaran di dalam talian. Selain itu, aplikasi mudah alih PJ City Bus juga turut membantu dalam memberikan maklumat perjalanan seterusnya memudahkan pelajar merancang perjalanan mereka. Semua inisiatif ini dilihat dapat menjimatkan masa dan kos perbelanjaan harian . Sehubungan dengan itu, Majlis telah merancang bagi memperluaskan lagi perkhidmatan bas percuma ini terutamanya ke kawasan-kawasan perumahan kos rendah dan sederhana yang masih tiada liputan PJ City Bus seperti di kawasan Ara Damansara, Tropicana, Kayu Ara, Kota Damansara dan Pelangi Damansara selepas mengambilkira tahap keperluan dan permintaan pengguna, analisa kesesuaian laluan dengan kerjasama dan sokongan dari pihak-pihak berkepentingan.
5. Apakah MBPJ akan teruskan memfokuskan kepada Teras ‘pendidikan’ sahaja atau selepas ini akan memantapkan teras-teras lain seperti Seni dan Budaya, Keusahawanan, Kesihatan, Persekitaran, Kerohanian , Teknologi dan Keselamatan?
Seperti yang telah dinyatakan, program Petaling Jaya Learning City ini melibatkan 8 Teras Pembelajaran, iaitu Seni & Kebudayaan, Pendidikan, Keusahawanan, Kesihatan & Kesejahteraan, Alam Sekitar, Kerohanian, Teknologi dan Keselamatan. Jadi, setiap teras ini akan diperkasakan dengan aktiviti-aktiviti yang bermakna buat setiap kumpulan sasar yang telah kita kenal pasti.
6. Hasrat Datuk Bandar untuk memantapkan lagi Organisasi MBPJ dan bagaimana untuk meningkatkan imej Bandaraya Petaling Jaya untuk setanding dengan bandar-bandar besar dunia yang lain?
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kini telah berusia 13 tahun sejak dinaiktaraf status bandar raya pada tahun 2006. MBPJ sentiasa beriltizam untuk memacu metropolis ini menepati konsep mampan (sustainable), pintar (smart) dan berdaya tahan (resilient) dalam usaha mewujudkan persekitaran perbandaran yang sejahtera dan mesra penduduk, selaras dengan matlamat Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya Peneraju, Dinamik dan Lestari. Keunikan MBPJ perlu di lihat menerusi peranannya selaku pentadbir tempatan yang merentasi kepelbagaian masyarakat dari yang bergelandangan sehinggalah golongan elit. Selain merancakkan potensi sektor Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Selangor. ekonomi, pusat komersial dan pelaburan, Majlis komited menyuburkan amalan terbaik kebertanggungjawaban sosialnya dengan memberikan perhatian kepada mereka yang kurang bernasib baik. Dasar-dasar yang diterapkan senantiasa mencari keseimbangan dan mencapai titik keadilan sosial. Pelan Strategik Korporat 10 tahun 2016-2026 merupakan wasilah untuk MBPJ menerajui Petaling Jaya di landasan yang tepat, selain melestari organisasi menuju aspirasi MAMPAN 2030 dan agenda transformasi abad ke-21. MBPJ turut melaksanakan dasar-dasar yang melibatkan kepentingannya dengan semua pihak. Local Agenda 21 (LA 21) adalah dasar utama yang melibatkan penglibatan komuniti dalam penggubalan dasar. Demi memacu kelestarian bandar raya Petaling Jaya, pendekatan strategi sejak 10 tahun yang lalu amat menekankan konsep inovasi dan kreativiti, khususnya dalam aspek penyampaian perkhidmatan awam tanpa mengenepikan kolaborasi rapat dengan pemegang taruh. Pengurusan kewangan yang telus telah berjaya menurunkan perbelanjaan mengurus tahunan serta dalam masa yang sama meningkatkan kutipan hasil cukai tahunan dengan tren konsisten dalam tempoh lima tahun yang lalu. Sementara itu, Program LA 21 MBPJ yang bermula pada November 1999 juga dirangka selaku projek perintis bagi meneruskan program dan agenda yang telah di tetapkan. Manakala dasar Sustainable PJ 2030 pula melibatkan tiga aspek utama iaitu Pelan Perancangan, ekonomi dan perancangan pembangunan bandar raya. Inisiatif ini diterjemahkan melalui pelaksanaan program dan aktiviti seperti Livable City Petaling Jaya @ Section 52, “PJ Safe, Safety For All”, jaringan laluan basikal Petaling Jaya, Komuniti Sejahtera dan program Gaya Hidup Sihat. Dalam merencana hala tuju yang jelas Majlis telah melakar strategi berfokus kepada empat teras utama iaitu:- Pertama: Teras Tadbir Urus, pemerkasaan institusi adalah satu usaha berterusan agar MBPJ dapat memacu perubahan dengan lebih tangkas. Untuk itu, struktur organisasi MBPJ sedang melalui proses penjajaran semula dan fasa rasionalisasi. Ini adalah sebahagian dari usaha terancang - bukan sahaja menmperkasa organisasi yang dinamik dan melestarikan imej korporat MBPJ di mata pemegang taruhnya, malah membentuk laluan kerjaya yang lebih baik kepada warga serta memupuk budaya organisasi yang lebih kondusif untuk bekerja dalam semangat berpasukan dan komitmen yang tulen. Kedua: Teras Masyarakat, berlatarbelakangkan masyarakat Petaling Jaya berkembang secara progresif ke arah menjadi negara maju. Namun menyedari kekangan oleh pelbagai faktor struktural seperti ketidaktentuan inflasi, polemik sosio-politik dan silang budaya serta konsolidasi antara ras agama, bahasa dan etnik. Cabaran terbesar MBPJ ialah memperluaskan akses kepada kehidupan metropolis berkualiti di tengah-tengah pelbagai kekurangan isu di dalam masyarakat yang semakin terdidik dan berjiwa memberontak. Ketiga: Teras Alam Sekitar, penekanan MBPJ ialah membangunkan Petaling Jaya secara seimbang tanpa mengorbankan nilai estetika alam sekeliling. Justeru, kelestarian alam sekitar dan kemampanan hidup masyarakat adalah paksi utama untuk teras ini. MPBJ berhasrat menjadi peneraju penguasa tempatan dalam aspek membangunkan metropolis yang berdayahuni tanpa mengorbankan kehijauan alam sekitar untuk generasi sekarang dan masa depan. Keempat: Teras Ekonomi pula, tumpuan adalah terhadap inisiatif mengukuhkan tahap kedudukan kewangan MBPJ sebagai pemangkin kepada kelestarian pengurusan bandar raya Petaling Jaya. MBPJ prihatin terhadap persekitaran ekonomi yang sihat dan berdaya saing. Ini seterusnya menjadi pemangkin kepada pemerkasaan program pembangunan kualiti hidup komuniti yang akan menjulang tinggi kemampanan konsep Liveable dan Loveable City. Inisiatif dan pelan tindakan yang diambil dan dijalankan ternyata telah menghasilkan impak yang besar sama ada di peringkat negeri, nasional mahupun peringkat antarabangsa. Ini dapat dibuktikan dengan pengiktirafan dan anugerah yang telah diterima oleh Majlis seperti Anugerah Bandar Mampan 2017 ‘MURNInets’, Anugerah Pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Kejiranan Hijau 2018 (Penyediaan Laluan Kaki Dan Laluan Basikal), Anugerah Pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Kejiranan Hijau (Pembangunan Kebun Kejiranan) dan Anugerah Pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Kejiranan Hijau (Program Pengkomposan Sisa) serta Anugerah Khas Menteri Wilayah Persekutuan, Anugerah Commonwealth Association Of Administration And Management (CAPAM). Terkini, MBPJ telah mencipta satu lagi sejarah yang membanggakan semua pihak apabila dinobatkan Anugerah Bandaraya Pembelajaran 2019 (Learning City Award 2019). Anugerah ini juga turut diterima oleh 9 buah bandar raya lain di dunia termasuk Petaling Jaya oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Saya amat berbangga dengan anugerah ini. Saya boleh katakan bahawa, pengiktirafan ini adalah untuk semua secara amnya dan khususnya buat masyarakat Petaling Jaya yang bersama-sama menjadikan bandar raya Petaling Jaya diiktiraf di peringkat antarabangsa. Besar harapan saya agar mandat MBPJ sebagai peneraju pentadbir tempatan berstatus bandar raya ini dapat dilunaskan dengan sebaik mungkin oleh semua pihak tanpa berbelah bagi. Kerjasama dan komitmen yang diberikan oleh semua pihak sebenarnya merupakan kata kunci yang paling utama di atas kejayaan yang ditempa ini. Anugerah ini juga selaras dan selari di atas landasan yang kukuh dalam memacu kejayaan yang lebih gemilang di masa hadapan sesuai dengan moto menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar raya Peneraju, Dinamik Dan Lestari. Terima Kasih.